Friday 7 February 2014

HADIS 8 RABIUL AKHIR 1435H

Bismillahirrahmanirrahim.


Sabda Rasulullah s.a.w.:

المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ يَومَ القِيَامَةِ


"Seseorang itu bersama orang yang dicintainya pada hari kiamat". 
- Hadis  riwayat Tirmizi.


KETERANGAN:

    Hadis ini diriwayatkan ketika pada suatu hari, seorang arab Badwi bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang keadaan seorang lelaki yang suka kepada suatu kaum, tetapi amalannya tidak seetaraf mereka. Maka dijawab oleh Rasulullah s.a.w. menerangkan status si pencinta.

     Hadis ini menerangkan suatu nikmat yang besar, bahawa sifat cinta yang ikhlas  mampu menemukannya dengan orang yang dicintai walaupun secara zahirnya dia tidak layak bersama. Bagaimana pula keadaan kita yang sangat jauh dari amalan Rasulullah s.a.w. sama ada dari segi zahir mahupun batin? Mampukah kita Qiamullail setiap malam? Mampukah kita puasa sunat tidak kurang 10 hari setiap bulan? Mampukah kita memaafkan orang yang berbuat jahat pada kita? Mampukah kita tersenyum kepada orang yang sangat membenci kita?

     Maha suci Allah yang mengurniakan peluang untuk kita bersama baginda walaupun kita tidak layak. Banyak lagi hadis-hadis sahih lain yang membawa makna yang sama. Saidina Anas r.a. ketika Rasulullah berkata kepadanya: "Engkau bersama dengan orang yang engkau cintai" maka disahut oleh beliau: "Maka aku cintakan Rasulullah, Abu Bakar dan Umar, dan aku berharap aku akan dapat bersama mereka (di akhirat".


FIQH HADIS:

1- Cinta yang ikhlas akan dinilai sebagai kebajikan di sisi Allah s.w.t.

2- Sayugia bagi seorang Muslim untuk mencintai Rasulullah s.a.w., para sahabat dan orang-orang soleh, agar dia mendapat kelebihan yang Allah kurniakan kepada mereka.

3- Cinta yang ikhlas akan terzahir pada tubuh, dan mencintai Rasulullah dengan benar adalah dengan rindu dan suka untuk membaca hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan beramal semampunya.

4- Tidak boleh seorang Muslim mencintai orang-orang kafir, orang-orang fasik, dan orang-orang yang jauh dari Allah s.w.t. kerana itu akan menjadi sumber kecelakaan.

5- Sesungguhnya azab Allah itu keras, tetapi rahmat Allah itu lebih luas, maka teramat rugi orang-orang yang tidak mengejar rahmat Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment