Tuesday 17 June 2014

TAJAAN BERBUKA PUASA DI MASJID AL-HUSSAIN KUALA PERLIS


          Masjid Al-Hussain dengan sukacitanya seperti kebiasaan akan melaksanakan program Iftor Jam`ie di masjid Al-Hussain setiap malam. Program seperti ini memberi peluang untuk para pengunjung amnya dan para Jemaah khususnya menikmati juadah yang enak di samping melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. berbuka puasa beramai-ramai.
          Justeru pihak masjid mengalu-alukan sebarang tajaan sama ada berbentuk keperluan barangan mentah atau berbentuk tajaan tunai sebanyak RM 500 bagi hari biasa dan RM 800 untuk hari minggu.






          Mudah-mudahan amalan kita menyenangkan hati sesama Muslim dan memberi makan saudara seagama diterima di sisi Allah s.w.t. dan menjadi benteng kita dari neraka Allah s.w.t.

Wednesday 19 February 2014

KEMBARA TAZKIRAH 2014



       Alhamdulillah segala puji bagi Allah atas keizinannya, semalam 19 Februari 2014, telah berjalan program KEMBARA TAZKIRAH yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perlis di masjid Al-Hussain Kuala Perlis.

       Ceramah di masjid ini disampaikan oleh Ustaz Wazin bin Othman, merupakan seorang pensyarah di UUM dalam bidang Muamalat dan pernah juga berkhidmat di Jabatan Mufti Perlis pada awal millennium ini.



       Tajuk yang disampaikan adalah berkisar tentang muamalat dan prinsip-prinsip muamalat dalam islam. Antara prinsip muamalat dalam Islam yang beliau sebutkan ialah:

1.  Mencegah kezaliman. 
   Segala urusan jual beli yang menzalimi pembeli tidak diiktiraf syarak.

2.  Mencegah Gharar (penipuan). 
   Contoh penipuan adalah tidak jelas akad perjanjian antara penjual dan pembeli seperti menjual sesuatu yang belum wujud (seperti benih haiwan) atau tidak menunjukkan barang yang hendak dijual.

3.  Mencegah Maisir (perjudian). 
   Konsep perjudian berlaku apabila peserta dikenakan yuran penyertaan, kemudian wang tersebut digunakan untuk membeli hadiah kepada pemenang.

4.  Mencegah riba.
   Konsep riba berlaku dengan pembelian wang dengan wang yang tidak sama nilai, seperti membeli insurans, kemudian mendapat pulangan yang lebih tinggi. Cara mengelakkan berlaku riba dalam insurans adalah dengan menggunakan akad takaful sesama ahli.

   Begitu juga pembiayaan kereta rumah dan sebagainya, apabila ditetapkan interest rate berdasarkan masa pinjaman. Cara keluar dari riba seperti ini adalah dengan bank memberi pinjaman berdasarkan harga rumah pada tarikh habis bayar (bai` bi thaman aajil) atau menggunakan konsep murabahah (bank membeli rumah dari pemaju dan menjualnya kepada peminjam).

       Mudah-mudahan ceramah yang disampaikan ini memberi pendedahan dan faedah kepada anak jemaah sekaligus mengelakkan umat Islam terjerumus ke dalam kancah riba.

Sunday 9 February 2014

Hadis 10 Rabiul Akhir 1435h

بسم الله الرحمن الرحيم

Rasulullah s.a.w. bersabda:

عَجَباً لأمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَلِكَ لأِحَدٍ إِلاَّ للْمُؤْمِن: إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خيْراً لَهُ


"Sungguh ajaib keadaan seorang mukmin, apa jua keadaan semuanya baik untuknya, dan tidak ada pada orang lain kecuali pada seorang mukmin: Jika dia mendapat kegembiraan dia bersyukur, maka itulah yang terbaik untuk dirinya, dan jika dia ditimpa mudharat dia bersabar, maka itulah yang terbaik untuk dirinya."

KETERANGAN
     Seorang manusia sering menyangka kebaikan itu hanya datang pada kesenangan dan kemudahan. Apabila mendapat kesenangan, dia berasa terlalu seronok sehingga lupa pada Allah. Tetapi apabila mendapat sakit, kesusahan, musibah dan sebagainya, dia berasa dirinya bernasib malang dan tiada siapa yang mempedulikan nasibnya.
     Di sinilah letaknya perbezaan antara orang yang benar-benar beriman dengan Allah s.w.t dengan orang-orang yang tidak beriman atau sekadar iman di lidah. Orang beriman memandang segala sesuatu datang dari Allah s.w.t., maka sebagai hamba dia tidak ada hak mempertikaikan perbuatan tuannya. Bagi dirinya, nikmat yang datang adalah untuk dihargai, manakala musibah yang menimpa adalah untuk menghapuskan dosa sendiri.

FIQH HADIS
1. Orang yang beriman sentiasa berfikiran positif dalam apa jua keadaan.
2. Sabar adalah sifat yang tidak boleh dipisahkan dari orang beriman.
3. Letaknya perbezaan antara orang beriman dan bukan beriman adalah pada persepsi mereka terhadap kehidupan.
4. Setiap perbuatan orang mukmin itu adalah untuk mencari redha Allah s.w.t. dan Allah akan membalasnya dengan sesuatu yang jauh lebih baik dari apa yang pernah dibayangkan manusia.

Friday 7 February 2014

HADIS 8 RABIUL AKHIR 1435H

Bismillahirrahmanirrahim.


Sabda Rasulullah s.a.w.:

المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ يَومَ القِيَامَةِ


"Seseorang itu bersama orang yang dicintainya pada hari kiamat". 
- Hadis  riwayat Tirmizi.


KETERANGAN:

    Hadis ini diriwayatkan ketika pada suatu hari, seorang arab Badwi bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang keadaan seorang lelaki yang suka kepada suatu kaum, tetapi amalannya tidak seetaraf mereka. Maka dijawab oleh Rasulullah s.a.w. menerangkan status si pencinta.

     Hadis ini menerangkan suatu nikmat yang besar, bahawa sifat cinta yang ikhlas  mampu menemukannya dengan orang yang dicintai walaupun secara zahirnya dia tidak layak bersama. Bagaimana pula keadaan kita yang sangat jauh dari amalan Rasulullah s.a.w. sama ada dari segi zahir mahupun batin? Mampukah kita Qiamullail setiap malam? Mampukah kita puasa sunat tidak kurang 10 hari setiap bulan? Mampukah kita memaafkan orang yang berbuat jahat pada kita? Mampukah kita tersenyum kepada orang yang sangat membenci kita?

     Maha suci Allah yang mengurniakan peluang untuk kita bersama baginda walaupun kita tidak layak. Banyak lagi hadis-hadis sahih lain yang membawa makna yang sama. Saidina Anas r.a. ketika Rasulullah berkata kepadanya: "Engkau bersama dengan orang yang engkau cintai" maka disahut oleh beliau: "Maka aku cintakan Rasulullah, Abu Bakar dan Umar, dan aku berharap aku akan dapat bersama mereka (di akhirat".


FIQH HADIS:

1- Cinta yang ikhlas akan dinilai sebagai kebajikan di sisi Allah s.w.t.

2- Sayugia bagi seorang Muslim untuk mencintai Rasulullah s.a.w., para sahabat dan orang-orang soleh, agar dia mendapat kelebihan yang Allah kurniakan kepada mereka.

3- Cinta yang ikhlas akan terzahir pada tubuh, dan mencintai Rasulullah dengan benar adalah dengan rindu dan suka untuk membaca hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan beramal semampunya.

4- Tidak boleh seorang Muslim mencintai orang-orang kafir, orang-orang fasik, dan orang-orang yang jauh dari Allah s.w.t. kerana itu akan menjadi sumber kecelakaan.

5- Sesungguhnya azab Allah itu keras, tetapi rahmat Allah itu lebih luas, maka teramat rugi orang-orang yang tidak mengejar rahmat Allah s.w.t.

Thursday 6 February 2014

HADIS 7 RABIUL AKHIR 1435H

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Hadis pagi ini,
Rasulullah s.a.w bersabda:

لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

"
Kalaulah memiliki seorang anak Adam dua lembah yang dipenuhi dengan emas, pasti dia mahu memiliki lembah ketiga (yang dipenuhi emas), dan tidaklah memenuhi tekaknya kecuali debu sahaja. Dan Allah mengampunkan orang-orang yang bertaubat kepadaNya."
Hadis riwayat Bukhari.



KETERANGAN:


     Rasulullah s.a.w. menyifatkan dalam hadis ini sifat semulajadi manusia yang sentiasa tidak pernah cukup dengan apa yang dimilikinya hatta telah memiliki dua lembah yang dipenuhi emas.

     Rasulullah s.a.w. menerangkan kecelaan sifat ini dengan menyatakan bahawa pada akhirnya, emas-emas ini tidak memberi manfaat kepada tuannya, malahan yang akan memenuhi rongga manusia kelak hanyalah tanah debu sahaja. Tanah debu memenuhi rongga bermaksud: kematian, iaitu apabila kita mati, hanya tanah yang ditumpahkan ke atas tubuh. Dalam hadis ini mengandungi makna teguran yang dalam iaitu manusia sentiasa mencari harta sehingga kematian datang menjemputnya, sedangkan harta itu tidak boleh dibawa bersama.


FIQH HADIS:
  1. Mencari harta bukanlah sesuatu yang dilarang dalam Islam, sebaliknya ia adalah dituntut kerana harta adalah salah satu sumber kekuatan sebuah daulah. Malahan salah satu golongan yang dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab adalah dermawan yang membelanjakan hartanya di jalan Allah.
  2. Mencari harta yang dicela dalam Islam adalah apabila dia meninggalkan tanggungjawab kepada Tuhannya, atau seperti yang disebutkan alam hadis di atas: sentiasa berasa tidak cukup. Maka yang dicela dalam hadis ini adalah sifat hati "sentiasa mahu" bukan sifat fizikal "mencari harta.
  3. Orang-orang yang beruntung adalah orang yang mencari dunia, tetapi hatinya mencari akhirat.
     

    MASJID AL HUSSIAN yang tersergam indah merupakan mercu tanda bagi Kuala Perlis dengan penampilan senibina Islam yang bertemakan ciri-ciri tropical resort. Masjid ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Negeri Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.pada 8 Oktober 2011.

        
   Keindahan senireka MASJID AL HUSSIAN secara langsung melambangkan penghargaan kepada alam. Bahan kemasan seperti batu, coral, serpihan batu kuartz, batu granit, marmar dan pebble yang berkualiti dipilih untuk menyerlahkan konsep masjid yang mesra alam. Masjid ini terletak di atas jumlah keluasan tapak lebih kurang 3 ekar, di mana luas keluasan laut sebanyak 2 ekar, dan kawasan darat bersama-sama dengan tempat parkir kereta dan taman landskap berjumlah 1 ekar. Jumlah keseluruhan lantai masjid adalah lebih kurang 12,250 kaki persegi atau 1138 meter persegi.
       

    Masjid terapung ini teletak di pinggiran pantai Kuala Perlis. Pengunjung dari Kuala Perlis dapat menikmati pemandangan masjid yang berlatar belakangkan laut biru yang luas terbentang. Terletak di antara jeti utama Kuala Perlis dan gerai ikan bakar terkenal,MASJID AL HUSSIAN telah menjadi daya tarikn pelancong di Perlis dan juga sebagai tempat pertemuan pelbagai kaum yang terdiri dari pelancong asing dan rakyat tempatan. Ia juga diharapkan dapat memupuk semangat perpaduan dan muhibbah di kalangan pengujnjung dan jemaah masjid. Sekaligus ia mengekalkan peranan sebagai tempat beribadah dan penemuan mengeratkan tali persaudaraan di antara ahli kariah dan orang awam. Masjid yang indah ini boleh menampung sehingga 1001 jemaah bagi ruang solat utama dan ruangan solat serba guna. Keindahan pandangan dari luar tidak akan sempurna kecuali melihat kecantikan dalamannya.