Thursday 6 February 2014

HADIS 7 RABIUL AKHIR 1435H

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Hadis pagi ini,
Rasulullah s.a.w bersabda:

لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

"
Kalaulah memiliki seorang anak Adam dua lembah yang dipenuhi dengan emas, pasti dia mahu memiliki lembah ketiga (yang dipenuhi emas), dan tidaklah memenuhi tekaknya kecuali debu sahaja. Dan Allah mengampunkan orang-orang yang bertaubat kepadaNya."
Hadis riwayat Bukhari.



KETERANGAN:


     Rasulullah s.a.w. menyifatkan dalam hadis ini sifat semulajadi manusia yang sentiasa tidak pernah cukup dengan apa yang dimilikinya hatta telah memiliki dua lembah yang dipenuhi emas.

     Rasulullah s.a.w. menerangkan kecelaan sifat ini dengan menyatakan bahawa pada akhirnya, emas-emas ini tidak memberi manfaat kepada tuannya, malahan yang akan memenuhi rongga manusia kelak hanyalah tanah debu sahaja. Tanah debu memenuhi rongga bermaksud: kematian, iaitu apabila kita mati, hanya tanah yang ditumpahkan ke atas tubuh. Dalam hadis ini mengandungi makna teguran yang dalam iaitu manusia sentiasa mencari harta sehingga kematian datang menjemputnya, sedangkan harta itu tidak boleh dibawa bersama.


FIQH HADIS:
  1. Mencari harta bukanlah sesuatu yang dilarang dalam Islam, sebaliknya ia adalah dituntut kerana harta adalah salah satu sumber kekuatan sebuah daulah. Malahan salah satu golongan yang dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab adalah dermawan yang membelanjakan hartanya di jalan Allah.
  2. Mencari harta yang dicela dalam Islam adalah apabila dia meninggalkan tanggungjawab kepada Tuhannya, atau seperti yang disebutkan alam hadis di atas: sentiasa berasa tidak cukup. Maka yang dicela dalam hadis ini adalah sifat hati "sentiasa mahu" bukan sifat fizikal "mencari harta.
  3. Orang-orang yang beruntung adalah orang yang mencari dunia, tetapi hatinya mencari akhirat.

No comments:

Post a Comment